Barakah R.A Tempatnya Di Syurga

7:51 PM

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ 
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

# Barakah R.A Tempatnya Di Syurga

Beliau hanya dikenali sebagai Barakah R.A dan diberi gelaran Ummu Aiman R.A. Susur galur salasilah gadis berketurunan Abussinia ini tidak begitu diketahui secara tepat, seolah-olah jalan kehidupannya sudah termaktub sebagai hamba sahaya apabila sejak dari kecil lagi sudah dijual di pasar hamba di Kota Mekah. Seperti mana seorang budak hamba, masa hadapan yang gelap telah sedia menanti di tangan bakal-bakal tuan atau pemilik yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Namun, sesetengah daripada mereka bertuah kerana dibeli oleh insan yang penyayang dan masih mempunyai belas kasihan. Barakah R.A merupakan salah seorang daripada golongan bertuah ini. Beliau telah diselamatkan oleh seorang lelaki yang pemurah lagi baik hati bernama Abdullah, ayahanda kepada Rasulullah SAW. Barakah menjadi satu-satunya hamba sahaya yang menemani keluarga ini sehinggalah kewafatan Rasulullah SAW.

# Peneman Setia Aminah

Kehadiran Barakah R.A sebenarnya banyak membantu dalam menyelenggara kehidupan rumah tangga Abdullah bersama-sama Aminah yang ketika itu masih muda belia. Sepanjang peninggalan Abdullah ke Syria mengikuti sebuah kafilah dagangan, Barakah R.A tidak pernah jemu menjadi teman setia Aminah yang baru dua minggu dikahwini Abdullah. Apalah daya Aminah untuk membantah kata-kata ayah mertuanya, Abdul Mutalib yang mengarahkan suaminya untuk pergi berdagang. Ketika itu, Barakah R.A pernah menyelinap masuk ke rumah Abdul Mutalib secara diam-diam dengan tujuan mahu merisik khabar Abdullah daripada sebuah kafilah Syria yang tiba ke Mekah. Namun hampa, harapan tinggal harapan kerana tiada berita yang diperolehinya. Walau bagaimanapun, kunjungan secara intipan yang seterusnya itu amatlah mengejutkan Barakah R.A. Apabila berita kematian Abdullah disahkan benar, hamba wanita itu berlari pulang ke rumahnya sambil meraung-raung meratapi kehilangan tuan yang sangat dikasihi dan dihormatinya itu. Apatah lagi Aminah yang terus jatuh pengsan apabila berita kematian itu disampaikan kepadanya. Sebagai seorang hamba yang amat mengasihi tuannya, Barakah R.A tidak pernah sesekali mengabaikan tanggungjawabnya untuk menjaga balu muda itu yang sedang sarat hamil. Malahan, ketika saat kelahiran Rasulullah SAW, Barakah R.A merupakan orang pertama yang menyambut kelahiran insan istimewa itu dan merangkulnya dengan penuh kasih sayang. Selepas kelahiran Nabi Muhammad SAW sehinggalah Halimatus Sa'diah R.A diangkat sebagai ibu susuan Baginda, Barakah lah yang mengasuh kekasih Allah itu sejak dari kecil dan tidak pernah berpisah dengan Baginda. Antara Aminah dan Barakah, kedua-duanya telah melalui pelbagai liku kehidupan dan suka duka bersama sehinggalah tiba detik perpisahan mereka. Saat tubuh Aminah tidak lagi kuat dan mampu bertahan menanggung penyakit yang dideritainya, beliau menghembuskan nafas terakhir dan meninggalkan Rasulullah SAW berseorangan sebagai anak yatim piatu. Barakah R.A sendiri telah menggali tempat persemadian Aminah dengan menggunakan kedua-dua tangannya. Sambil membawa hati yang masih dalam kesedihan, Barakah R.A telah membawa si kecil Muhammad SAW ke Kota Mekah dan memeliharanya di bawah jagaan datuk Baginda, Abdul Mutalib sehinggalah Rasulullah SAW meningkat dewasa dan menikahi Saidatina Khadijah R.A.

# Teman Hidup Baru Barakah R.A

Menyedari akan status pengasuhnya yang masih bujang, Rasulullah SAW telah mencadangkan agar Barakah R.A berkahwin dengan Ubaid bin Zaid R.A daripada Bani Khazraj. Tanpa banyak soal, lamaran pun diterima dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak yang diberi nama Aiman. Mulai saat itulah Barakah dipanggil dengan gelaran Ummu Aiman R.A yang bermaksud ibu kepada Aiman. Jodoh mereka tidak panjang apabila Ubaid R.A meninggal dunia tidak lama selepas itu. Barakah kemudiannya disunting sebagai teman hidup Zaid Bin Harithah R.A iaitu anak angkat Raslullah SAW di kala tiada seorang pun sahabat sudi memperisterikannya yang telah pun berusia kira-kira 50 tahun ketika itu.

# Berhijrah Sendiri Ke Yathrib (Madinah)

 Wanita berhati cekal ini telah berhijrah sendirian ke Madinah tanpa bantuan suaminya, Zaid Bin Harithah. Beliau sanggup menempuh perjalanan yang sukar merentasi gurun panas dan gunung-ganang sebelum tiba di sana dan di sambut dengan kegembiraan oleh Rasulullah SAW. Di Madinah, Barakah R.A memainkan peranan penting sebagai penggerak kerja-kerja dakwah. Ketika Perang Uhud, beliau bertugas mengagih-agihkan air minuman dan merawat para pejuang di perbatasan. Barakah R.A juga pernah menemani Rasulullah SAW dalam beberapa ekspedisi seperti ke Khaibar dan Hunain. Satu-satunya anak Barakah, Aiman R.A telah gugur syahid ketika Perang Hunain pada tahun kelapan Hijrah. Manakala suami beliau pula meninggal dunia ketika menyertai Perang Mu'tah di Jordan. Barakah R.A menjalani kehidupan berseorangan pada usia 70-an. Rasulullah SAW dengan di temani oleh Abu Bakar dan Umar R.A sering mengunjungi Barakah R.A di rumahnya. Selepas kewafatan Rasulullah SAW, Barakah R.A sering dilihat berada dalam kesedihan. Anas bin Malik R.A pernah menceritakan bahawa selepas kewafatan Rasulullah SAW, Abu bakar dan Umar R.A telah bertanyakan sebab-musabab kesedihan wanita mulia itu. Barakah R.A menjawab, beliau bersedih bukan kerana enggan mengakui mengenangkan wahyu yang sudah tidak lagi diturunkan daripada Allah SWT. Hasil keimanan Barakah amat memberi kesan yang mendalam di jiwa setiap orang yang mengenalinya. Kepatuhan beliau kepada Islam adalah tulen dan kekukuhan akar imannya mencengkam begitu kuat sehingga sukar diganggu atau tergugat. Rasulullah SAW pernah mengatakan kepada para sahabat bahawa Allah SWT telah menjanjikan Barakah R.A sebagai salah seorang penghuni syurga. Barakah dikurniakan hayat yang panjang dan meninggal dunia ketika usia melebihi 90 tahun semasa pemerintahan Khalifah Saidina Uthman R.A. Walaupun jasadnya terkubur, tetapi identiti wanita unggul ini terus dikenang bersama-sama kegemilangan peribadi dan keutuhan imannya.

#Sumber: Team Tazkirah   

You Might Also Like

0 Comments