Idola Srikandi Cemerlang

1:24 AM

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ 
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, dapat kita bernafas di muka bumi ini. In shaa Allah, untuk malam ini, ana akan memberikan sedikit pengisian dengan tajuk pilihan 'Idola Srikandi Cemerlang'. 

Umum mengetahui jumlah wanita lebih banyak berbanding dengan lelaki. Mereka sukar mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan yang tinggi. Ada yang sanggup menjadi suri rumah sepenuh masa demi menjaga anak-anak. Kaum hawa yang bertuah pula mendapat kelebihan 'takhta' jawatan tinggi dalam syarikat kerajaan atau swasta. Kelebihan mereka dalam menguruskan dan melontarkan kata-kata tidak boleh disangkal lagi. Tidak kira apa jua kerjaya antunna, wahai wanita muslimah, yang penting ianya mesti mendatangkan kebaikan pada diri sendiri dan juga orang lain.

Srikandi Islam

Sungguh hebat kerjaya wanita zaman ini lalu membuktikan peranan besar wanita ketika zaman Rasulullah SAW. Sejarah Islam menunjukkan, wanita yang berkerjaya di luar rumah membantu ke arah kecemerlangan agama suci Allah SWT ini. Ia terbukti apabila insan pertama yang gugur syahid di bumi Allah adalah di kalangan wanita Islam iaitu Sumaiyyah. Siapakah lagi srikandi Islam yang sentiasa menjadi ikutan, tauladan buat kita?

1. Saidatina Khadijah Khuwailid

Wanita pertama yang memeluk Islam ini terkenal sebagai seorang ahli perniagaan yang berjaya sehingga mendapat jolokan 'Thahirah' yang bermaksud suci. Ini kerana beliau sentiasa menjaga maruah diri, kehormatan serta sifat peribadinya sebagai seorang muslimah. Ketika dalam kesusahan, isteri kesayangan Rasulullah ini sanggup menginfakkan sebahagian hartanya kepada insan yang lebih memerlukan. Saidatina Khadijah juga berdiri teguh menyokong suaminya walaupun mendapat tentangan daripada kaum Quraisy. Kehadiran wanita syurga ini sememangnya lambang kegemilangan wanita Islam ketika hak-hak wanita dipersoalkan dalam masyarakat Arab.

2. Saidatina Aisyah Abu Bakar

Terkenal dengan sifatnya yang lemah lembut, penuh sopan santun dan mempunyai sikap cemburu yang kuat namun mampu dikawal. Saidatina Aisyah binti Abu Bakar sudah tentu menjadi isteri kesayangan Rasulullah SAW. Usia muda merupakan salah satu kelebihan buat beliau kerana mampu menguasai pelbagai bidang ilmu mengatasi kaum lelaki. Jika antunna mencari idola, contah dalam bidang pendidikan, maka isteri Rasulullah SAW ini adalah ikutan yang tepat. Berada di bawah jagaan suaminya, beliau mampu mengingati segala pesanan dan menimba pelbagai ilmu secara langsung daripada Nabi Muhammad SAW sehingga menguasai ilmu pada tahap tertinggi. Beliau menjadi rujukan para sahabat, dan ilmuan dunia setelah kewafatan Rasulullah SAW. Antaranya, termasuklah seorang sasterawan dan pemidato hebat, Urwah Ibn Al Zubir yang menyifatkan Saidatina Aisyah sebagai wanita yang hebat dan alim dalam ilmu al-Quran, hadith, fiqh dan syair.

3. Saiyyidah Zubaidah binti Ja'afar

Pernahkan antunna mendengar nama srikandi yang satu ini? Jika belum pernah, mari kita sama-sama mengambil tahu serba sedikit tentang apa pengorbanannya pada kemajuan Islam. Beliau adalah isteri kepada pemerintah Abbasiyyah, Harun ar-Rasyid. Beliau adalah seorang wanita yang cantik rupawan dan terkenal kerana kedudukan takhtanya yang tinggi tika itu. Semua orang tahu akan kekayaan dan rezeki yang melimpah ruah pada pasangan ini. Namun, itu semua bukanlah lesen untuk wanita syurga ini bersikap tamak dan bongkak. Rezeki Allah Yang Maha Luas itu disedekahkan kepada rakyat yang memerlukan sehinggan habis jutaan dinar. Lebih mengharukan apabila srikandi ini menyalurkan dana yang banyak untuk membina terusan yang mampu memberi sumber minuman kepada seluruh penduduk Mekah sehingga sejauh 10 batu. Demi mengingati jasa beliau, ia diberi nama 'Air Mata Zubaidah'. Kebajikannya tidak terhenti setakat itu sahaja. Ibu kepada Khalifah Al-Amin ini telah memerintah agar dibina semula kota Iskandariah yang telah hancur musnah. Segala dana ini menunjukkan betapa hebatnya beliau dalam pengurusan politik dan pentadbiran negara.

4. Rufaidah Binti Sa'ad

Namanya tidak gah seperti isteri-isteri Rasulullah SAW namun sumbangannya kepada umat Islam amat besar tidak ternilai harganya. Beliau telah dilahirkan di Madinah dan merupakan antara yang terawal memeluk agama Islam. Sejarah mencatatkan bahawa Rufaidah merupakan seorang jururawat yang cemerlang kerana mendapat didikan hebat daripada ayahnya sendiri yang merupakan seorang doktor. Dirinya dipenuhi dengan sifat empati yang tinggi dan kerana sifatnya yang suka melakukan kerja-kerja kemasyarakatan sehingga mendapat jolokan 'peduli ummah'. Khidmatnya tidak hanya di hospital, malah di lapangan. Beliau sanggup mengabdikan dirinya demi kebajikan dan kecemerlangan umat Islam. Antara sumbangannya ialah mewujudkan khemas khas di luar Masijd Nabawi untuk merawat sesiapa sahaja yang sakit. Beliau terkenal dengan sifat berani dan tidak berputus asa mengikut rombongan yang diketuai Nabi Muhammad SAW ke medan perang. Beliau setia di barisan belakang membantu pahlawan Islam yang cedera ketika berperang. Peranan ikhlas sebegini sukar dicari ganti pada masa kini.

5. Khaulah al-Azwar

Susuk nama ini seringkali bermain di bibir umat Islam kerana memiliki sifat ketangkasan, cekal dan berani walaupun dilahirkan sebagai seorang wanita. Beliau bukanlah doktor, jurutera, guru mahupun seorang ahli perniagaan tetapi sumbangannya kepada kemenangan umat Islam amat dibanggakan. Antunna suka aktiviti lasak seperti memanah, berkuda dan bermain pedang? Maka Khaulah al-Azwar layak dijadikan contoh terbaik. Beliau yang tidak gentar seringkali menyertai pelbagai peperangan bersama Rasulullah SAW dan memberi kejutan kepada pahlawan lain. Ketangkasan beliau dan semangat ketika berperang menjadi motivasi buat pahlawan lain terus berjuang. Hatta, saat ditangkap oleh tentera Rom, beliau masih lagi seorang yang sangat berani hinggan kata-katanya menjadi motivasi buat tawanan lain bagi berusaha meloloskan diri. Beliaulah contoh pakar motivasi yang tidak pernah kenal erti putus asa. Status wanita bukanlah tanggapan bahawa kita adalah seorang yang lemah.



Jadi jelaslah di sini bahawa wanita juga mempunyai peranan yang tersendiri dalam usaha membangunkan Islam. Kemahiran yang ada dalam diri setiap muslimah layaknya digunakan untuk terus memajukan Islam. Marilah, kita bersama-sama berusaha mencontohi srikandi-srikandi Islam ini agar Islam kembali mulia dan dipandang tinggi. In shaa Allah. Sekian sahaja nota daripada ana pada malam ini. Syukran jazilan wa jazakumullah khairan khatira sudi luangkan masa untuk baca. 






You Might Also Like

0 Comments